KEPUTUSAN PERLAWANAN TERKINI
Saturday, 9 April 2011
Friday, 8 April 2011
PERATURAN PERTANDINGAN BOLASEPAK “ACC - AMATEUR CUP CHAMPIONSHIP 2011”
KEJOHANAN LIGA AMATUR KALAH MATI
“ACC - AMATEUR CUP CHAMPIONSHIP 2011”
1. AM
Pertandingan ini dinamakan Kejohanan Piala Amatur ACC CUP 2011. (melainkan ditukar oleh pihak Penganjur jika terdapat penajaan utama)
2. PENGANJUR / PENGELOLA
Pertandingan ini dianjur oleh ACC Management dan disokong oleh Majls Sukan Negeri Kedah Darul Aman.
3. SYARAT-SYARAT PENYERTAAN
3.1 Pertandingan ini terbuka kepada semua pasukan dan peringkat umur.
3.2 Setiap pasukan dibenarkan mendaftar seramai lapan belas (18) orang pemain dan dua (2) orang pegawai pasukan. Pendaftaran hendaklah menggunakan Borang yang telah disediakan.
3.3 Pemain yang tidak didaftarkan tidak dibenarkan mengambil bahagian. Sekiranya berlaku sedemikian, penyertaan pasukan tersebut dalam pertandingan ini akan dibatalkan secara automatik. Semua perlawanan sebelumnya yang disertai oleh pasukan tersebut dianggap tidak sah. Jika menang, kemenangan percuma akan diberikan kepada pasukan lawan.
3.4 Setiap pemain dan pegawai perlu menyertakan 2 keping gambar berukuran passport untuk simpanan dan rujukan pihak penganjur.
3.5 Setiap pemain dan pegawai akan diberikan satu (1) kad penyertaan dan perlu menyerahkannya kepada pegawai bertugas untuk semakan sebelum setiap perlawanan. Kegagalan menyerahkan kad tersebut boleh menyebabkan pemain tersebut tidak dibenarkan untuk bermain.
4. TEMPAT, MASA DAN JADUAL PERTANDINGAN
4.1 Semua perlawanan akan dijalankan di lokasi yang akan ditentukan kemudian.
4.2 Perlawanan akan bermula pada Jun 2011 dan akan berakhir pada Oktober 2011 (15 minggu).
Setiap perlawanan hendaklah mengikut jadual yang telah disediakan oleh Jawatankuasa Penganjur.
4.3 Masa bagi semua perlawanan adalah 45 + 15 + 45.
4.4 Pasukan yang akan bermain hendaklah berada di padang sepuluh (10) minit sebelum perlawanan dimulakan. Kemenangan percuma akan diberikan kepada mana-mana pasukan jika pasukan lawan gagal berada di padang selepas lima (5) minit dari masa sesuatu perlawanan sepatutnya dimulakan.
5. FORMAT PERTANDINGAN
5.1 Perlawanan akan dijalankan secara sebelas (11) sebelah.
5.2 Pasukan-pasukan yang bertanding dibahagi kepada 4 kumpulan. Kedudukan pasukan dalam sesuatu kumpulan akan ditentukan dengan cara undian. Setiap kumpulan mempunyai 12 pasukan.
5.3 Perlawanan pusingan awal dalam sesuatu kumpulan, akan dijalankan secara liga. 4 pasukan teratas setiap kumpulan (16 pasukan) layak untuk ke peringkat kedua kalah mati. Perlawanan pertama setiap pasukan yang layak ke peringkat kedua akan ditentukan secara undian.
8 pasukan Pemenang akan layak ke suku akhir dan 4 pasukan akan ke separuh akhir.
5.4 Dalam peringkat separuh akhir dan akhir, sekiranya dua pasukan yang bermain masih dalam kedudukan seri setelah masa sebenar tamat, maka permainan secara 'Sudden Death' akan dijalankan dalam masa tambahan 10 minit iaitu 5 minit setiap separuh masa dengan tiada masa rehat.
' Sudden Death' bermaksud mana-mana pasukan yang menjaringkan gol terlebih dahulu akan diisytiharkan sebagai pemenang dan permainan akan ditamatkan serta merta.
5.5 Pemberian mata ialah tiga (3) jika MENANG, satu (1) mata jika SERI dan kosong (0) mata jika KALAH.
5.6 Jika terdapat dua (2) atau lebih pasukan mempunyai jumlah mata teratas yang sama, kaedah berikut hendaklah dipatuhi bagi menentukan pasukan yang layak ke peringkat kedua:
5.6.1 Pasukan yang mempunyai jumlah perbezaan bilangan gol yang banyak.
5.6.2 Jika masih seri pasukan yang mempunyai jumlah jaringan gol terbanyak
5.6.3 Jika masih seri juga, tendangan penalti sebanyak tiga (3) kali akan diberikan. Pasukan yang banyak menyempurnakan tendangan penalti akan diumumkan sebagai pemenang. Dan,
5.6.4 Jika masih seri sistem "Sudden Death" akan digunakan bagi tendangan penalti bagi menentukan pemenang.
6. PERTUKARAN PEMAIN.
Sebanyak lima (5) pertukaran pemain termasuk penjaga gol dibenarkan pada setiap perlawanan.
Pertukaran pemain hendaklah dibuat melalui pembantu pengadil pertama semasa bola tidak di dalam permainan.
7. KEMENANGAN PERCUMA
7.1 Kemenangan percuma akan diberikan kepada mana-mana pasukan, jika pasukan lawannya didapati melakukan kesalahan seperti berikut :-
7.1.1 Menyenaraikan pemain yang tidak didaftarkan dalam mana-mana perlawanan seperti dinyatakan dalam perkara 3.2
7.1.2 Gagal berada di padang selepas lima (5) minit dari masa perlawanan sepatutnya dimulakan seperti dinyatakan dalam perkara 4.4.
7.1.3 Gagal menyediakan sekurang-kurangnya sembilan (9) orang pemain dalam sesuatu perlawanan.
7.1.4 Jika permainan dihentikan oleh kerana salah satu pasukan hanya mempunyai tujuh (7) orang pemain sahaja disebabkan kesalahan tatatertib, maka pasukan lawan yang mempunyai pemain yang mencukupi akan diberikan kemenangan 2-0.
7.1.5 Tidak mahu meneruskan perlawanan.
7.2 Pasukan yang diberi kemenangan percuma akan mendapat tiga (3) mata dan kiraan jaringan 2-0.
7.3 Pasukan yang bertanding tidak dibenarkan memberi kemenangan percuma kepada pasukan lawan. Jika berlaku juga keadaan sedemikian, pasukan tersebut secara automatik terkeluar dari kejohanan ini dan perlawanan sebelumnya dibatalkan.
8. PERATURAN AM
8.1 Jika seseorang pemain telah menerima dua (2) kad kuning dalam perlawanan sebelumnya pemain tersebut secara automatik tidak dibenarkan bermain satu (1) perlawanan berikutnya.
8.2 Jika seseorang pemain menerima dua (2) kad kuning dan seterusnya diberikan satu (1) kad merah dalam suatu perlawanan dan diperintahkan keluar padang, maka pemain tersebut tidak boleh bermain dua (2) perlawanan berikutnya.
8.3 Jika seseorang pemain ditunjukkan kad merah dan diperintahkan keluar padang dalam suatu perlawanan, pemain tersebut tidak dibenarkan bermain dalam perlawanan seterusnya untuk pertandingan ini.
8.4 Pasukan yang bertanding wajib menyediakan dua (2) set jersi yang mempunyai warna yang berlainan dan bernombor iaitu untuk jersi utama dan simpanan. Sekiranya dua (2) pasukan yang akan bertanding didapati memakai jersi yang sama warnanya, pasukan yang disebut terdahulu dalam jadual pertandingan hendaklah menukar jersi yang dipakai dengan warna lain. Pemain dikehendaki memakai jersey dengan nombor yang sama disepanjang kejohanan.
8.5 Ketua setiap pasukan hendaklah memakai lilitan lengan yang nyata di lengan kiri jersinya. Sekiranya ketua pasukan digantikan maka lilitan lengan tersebut diberi pula kepada pemain yang mengambilalih sebagai ketua pasukan.
8.6 Pihak penganjur tidak bertanggungjawab sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini terhadap mana-mana pihak sebelum, semasa dan selepas pertandingan ini dijalankan.
8.7 Sekiranya Pengurus dan Pegawai-pegawai Pasukan terlibat dalam insiden pergaduhan dengan Pegawai-pegawai perlawanan atau pasukan lawan atau Urusetia Pertandingan, pasukannya akan didenda dengan DIKELUARKAN TERUS daripada pertandingan.
8.8 Pihak penganjur berhak untuk membuat sebarang pindaan atau perubahan pada jadual, padang perlawanan dan lain-lain yang berkaitan untuk melicinkan perjalanan pertandingan.
8.9 Jika tidak disebut dalam syarat-syarat pertandingan ini maka syarat-syarat Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) hendaklah digunakan.
8.10 Peraturan FIFA akan digunakan dalam pertandingan ini.
9. WAKTU & HARI BERMULA SESUATU PERLAWANAN.
9.1 Semua perlawanan akan diadakan pada hari JUMAAT (pagi & petang) & SABTU (pagi & petang) sahaja. Sepakmula sebelah pagi ialah jam 8.30 pagi manakala sepakmula perlawanan pada sebelah petang adalah pada jam 5.00 petang. Waktu & hari sepakmula juga boleh diubahsuai oleh pihak Penganjur, jika perlu.
9.2 Waktu, hari dan venue perlawanan setiap pasukan adalah berbeza bagi setiap perlawanan kerana sistem pusingan (rotation) akan digunapakai.
10. TENDANGA DARI TANDA PENALTI.
Tendangan dari tanda penalti, jika diberikan hendaklah mengikut peraturan yang ditetapkan oleh Lembaga Antarabangsa.
11. PERLAWANAN YANG DITUNDA ATAU DIHENTIKAN
Sekiranya Pengadil berpendapat bahawa padang tidak sesuai untuk permainan disebabkan oleh keadaan cuaca atau kerana hal hal yang tidak dijangkakan, perlawanan itu tidak dapat dimainkan atau sekiranya sesuatu perlawanan dihentikan akibat hal hal di luar kawalan kedua dua pasukan, maka perlawanan yang ditunda atau dihentikan itu akan dilangsungkan dalam minggu itu juga. Hari perlawanan ganti yang ditetapkan penganjur adalah muktamad.
12. TARIK DIRI ATAU GAGAL BERMAIN.
12.1 Sekiranya mana mana pasukan menarik diri dari pertandingan selepas penyertaan ditutup & sebelum pertandingan bermula tanpa mendapat kelulusan terlebih dahulu dari penganjur, maka pasukan tersebut boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500.00 & boleh dihalang menyertai pada musim berikutnya.
12.2 Sekiranya sesebuah pasukan tidak melaporkan diri untuk sesuatu perlawanan kecuali dalam hal bencana alam & sebab-sebabnya kemudian diterima oleh Jawatankuasa Pertandingan , atau jika Pasukan tersebut enggan meneruskan pertandingan atau meninggalkan padang sebelum tamat perlawanan, maka pasukan yang ingkar itu hendaklah dianggap telah kalah & kemenangan diberi kepada lawannya dengan jaringan gol dua kosong atau lebih sekiranya itulah jaringan golnya pada saat meninggalkan padang. Pasukan tersebut boleh disekat daripada terus mengambil bahagian dalam pertandingan untuk tempoh yang akan ditentukan oleh Jawatankuasa Pertandingan & boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500.00 atau kedua dua sekali. Mana-mana Pegawai atau pemain yang terbukti telah membantu atau bersubahat melakukan apa-apa kesalahan di bawah peraturan ini adalah bersalah kerana khianat & boleh dikenakan penggantungan atau denda ataupun kedua-dua sekali.
12.3 Kalaupun seseorang pengadil telah membuat kesilapan dalam taksiran undang-undang permainan sebagaimana yang diputuskan oleh Lembaga Persatuan Bolasepak Antarabangsa, tetapi pasukan yang berkenaan hendaklah bermain sehingga tamat perlawanan & boleh membuat rayuan terhadap keputusan tersebut kepada Jawatankuasa Pertandingan & keputusannya adalah muktamad.
12.4 Jawatankuasa Pertandingan hendaklah bertanggungjawab atas segala urusan padang & penyediaan bola yang hendaklah mematuhi undang-undang permainan.
13. KAWALAN KESELAMATAN & KELAKUAN PEMAIN, PEGAWAI & PENONTON.
13.1 Semua pasukan bertanggungjawab atas:
(a) Kelakuan baik para Pegawai, Pemain & Penyokong.
(b) Mengambil lengkap keselamatan, lengkap pencegahan untuk menentukan tiada
Kejadian yang tidak diingini terjadi.
13.2 Sekiranya Jawatankuasa Tatatertib mendapati pasukan cuai menjalankan tanggungjawab ini, maka Jawatankuasa Tatatertib hendaklah mengambil tindakan tatatertib yang sesuai yang antara lainnya termasuk:-
(a) Teguran keras
(b) Denda
(c) Pembatalan keahlian
(d) Penggantungan para pemain atau para pegawai yang bertanggungjawab atas
Kejadian tersebut untuk tempoh tertentu.
(e) Melarang untuk mengikut liga anjuran Kelab / Persatuan / Syarikat bagi tempoh
Tertentu.
(f) Atau lain-lain tindakan yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib.
14. TINDAKAN TINDAKAN TATATERTIB
14.1 Tindakan tatatertib yang akan diambil adalah selaras mengikut apa yang digariskan dalam peraturan peraturan tatatertib FAM.
14.2 Tindakan tatatertib akan diambil ke atas pemain yang tidak menggunakan “ SHIN GUARD” atau jersi yang tidak kemas apabila dilaporkan oleh pengadil.
15. BANTAHAN.
15.1 Bantahan terhadap keputusan atau soal pemain yang tidak layak mestilah dihantar secara bertulis kepada Setiusaha Penganjur & hendaklah diterima dalam tempoh 24 jam selepas tamatnya perlawanan yang berkenaan disertai dengan bayaran Wang tunai RM300.00 yang akan dikembalikan jika bantahan itu berjaya.
15.2 Bantahan tidak boleh dibuat terhadap keputusan mengenai perkara fakta yang dibuat oleh pengadil di padang permainan.
16. PENGAWAL PERTANDINGAN.
16.1 Jawatankuasa pengadil akan melantik pengadil & penjaga garisan yang berdaftar dengan Persatuan Bolasepak Negeri Kedah untuk mengadili semua perlawanan.
16.2 Sekiranya mana-mana pegawai Pertandingan tidak hadir pada waktu yang diiklankan bagi permainan sesuatu perlawanan, maka kedua-dua pasukan hendaklah setelah berunding melantik seorang pengganti untuk mengambil tempat Pegawai Pertandingan yang tidak hadir itu. Jika timbul apa apa pertikaian, keputusan pemeriksaan perlawanan adalah muktamad.
16.3 Pengadil bagi setiap perlawanan hendaklah membuat laporan dalam borang yang disediakan & laporan tersebut hendaklah dihantar kepada Setiausaha Penganjur setelah tamat setiap perlawanan.
17. KEMALANGAN.
17.1 Pihak penganjur tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kemalangan, kecederaan, kehilangan atau kecurian barangan persendirian peserta.
17.2Semua pasukan dinasihatkan/digalakkan membawa kotak keselamatan masing masing.
18. HAL HAL YANG TIDAK DIPERUNTUKKAN.
Segala hal yang tidak diperuntukan di bawah peraturan ini atau soal perbezaan taksiran hendaklah diambil tindakan oleh Jawatankuasa Pertandingan yang keputusannya adalah muktamad.
19. PENAJAAN.
Setiap pasukan mestilah melekatkan nama penaja yang akan diberikan oleh pihak penganjur pada jersi bagi setiap perlawanan di dalam kejohanan ini.
Jika didapati terdapat jersi tanpa nama penaja yang diberikan oleh pihak penganjur, maka pemain tersebut tidak dibenarkan untuk bermain pada perlawanan tersebut.
20. YURAN PENYERTAAN
12.1 Yuran penyertaan untuk kejohanan ini ialah sebanyak RM500.00
( Ringgit: Lima Ratus Ringgit Sahaja) bagi satu pasukan.
12.2 Yuran penyertaan tidak akan dikembalikan jika pasukan gagal untuk
menghadirkan diri pada masa kejohanan dan pasukan yang disingkir dari
kejohanan atas sebab-sebab tertentu.
NOTA PENTING: PIHAK PENGANJUR BERHAK MEMINDA, MENAMBAH DAN MENGELUARKAN SEBARANG SYARAT DAN PERATURAN PERTANDINGAN DAN PERMAINAN JIKA DIFIKIRKAN PERLU DARI MASA KE SEMASA TANPA SEBARANG NOTIS.
Thursday, 7 April 2011
Subscribe to:
Posts (Atom)